HADIAH NOMBOR 1 PALING RARE-1989

 

Penku bertinta kembali.
Coretan kali ini tergerak dek hati yang amat merindui insan nan seorang ini.
Jasadnya mungkin dah terlerai bersatu dengan bumi, namun bayang memorinya masih tersemat kukud di jiwa sang pengasihnya. Duhai hati. Bertenanglah. Titipan doa buatnya agar Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang bisa memberikannya tempat bersama orang-orang kesayanganNya.
Genap 3 tahun lebih dia pergi ke negeri abadi. Jikalau beliau masih di sini, pastinya ia tergelak besar menyambut kelahirannya yang ke -79 tahun. Sikapnya yang menghiburkan sepertinya terbayang-bayang di pandangan mata.
Kali ini aku ingin berkongsi cerita hidupku ketika baru mencecah 9 tahun, ia ketika itu dalam tahun 1989. Aku minat membaca dan suatu ketika aku terbaca tentang bandar yang mempunyai banyak bangunan pencakar langit dan bermacam-macam ada yang tiada di kawasan pedalaman. Sikap ingin tahuku membuak-buak sehingga suatu ketika bila bapa balik ke rumah ketika cuti sekolah aku segera memintanya membawaku ke bandar. Bapa bertugas di sebuah sekolah menengah jauh di pedalaman Ranau. Hanya masa cuti sekolah sahaja beliau dapat balik berkumpul dengan kami. Sebenarnya, aku sudah menyiasat juga tentang bandar ini. Aku bertanya dengan guru Bahasa Inggeris sebab beliau sahaja berbangsa Tionghua di sekolahku. Menurutku, dia guru paling moden di sekolah kerana satu-satunya yang memakai baju 'dress' yang cantik dan bermake -up paling lawa (ini daripada kaca mata seorang murid kampungan ya). Lagipun, kononnya dia tinggal di kawasan bandar. Setelah bertanya dan guru tersebut pun amat ramah bercerita, aku mendapati ada dua bandar paling maju kononnya di Sabah ketika itu bandar Kota Kinabalu dan Tawau. Namun, yang paling hampir kononnya bandar Kota Kinabalu. Cepat-cepat ku ingat Kota Kinabalu alias KK.
" Appa..appa.. bawa ba sa di KK" aku terus memberitahu ayah setelah selesai makan dan berehat. Bapa memandang Mama. Hairan bin ajaib barangkali. " Lama sudah dia cakap-cakap tu. Entah apa dia mau bikin di KK.Ada kali urusan seri paduka baginda dia tu" Terang mama sambil ada nada-nada sindiran. Tersengih bapa mendengar penjelasan mama. Aku tidak peduli. "Appa bah. Bawa bah " Kataku lagi sambil mengoyang-goyangkan tangannya. Bapa berfikir sejenak. "Bah, dengan syarat ko dapat nombor 1 di kelas kau bulan enam (Jun) ini" Katanya. "Yeay!" Aku bersorak kegembiraan padahal setakat ini aku belum pernah nombor 1 (tempat pertama) lagi di kelas. Mama geleng-geleng kepala. Bapa tersenyum-senyum saja.
Dijadikan cerita, bulan enam pun menjelang tiba. Keputusan peperiksaan semester 1 diumumkan. Berbunyi sahaja loceng sekolah aku berlari sekuat-kuatnya balik rumah. Hairan kawan-kawanku tidak ikut merentas sungai macam selalu. "Oi, laju juga kau mau balik. Ko tidak mau ikut kami pigi magatos (merentas) sungai ini kali? Banyak tau buah merindou sana tu.Ada sudah sa bawa sedia garam sama lada" Pujuk kawanku. "Nantilah. Hari ini bapaku balik" Balasku pendek sambil angkat skrit pinapohku sampai pinggang. Nampak seluar pendek lusuhku. Biasa beginilah stail kalau mau berlari pecut. Aku bagi isyarat mau lari dengan kawanku dan dengan sekuat-kuat hati saya berlari balik rumah.
Balik rumah aku cepat-cepat mandi, makan dan bantu mama apa-apa yang diperlukan. Aku ambil penyapu dan seperti lipas kudung menyapu bilik mama dan bapa sampai ruang tamu dan bahagian luar. Extra terajin pula kali ini,Hahha. Tengok luar, pasang telinga. Belum ada kelibat bapa dan bunyi kereta Suzuki uzurnya. Sampai ke malam tidak nampak batang hidung bapa. Punya kecewa hatiku. Tengok jam mahu pukul 12:00 malam sudah. Mama pun kelihatan resah. " Biasa awal juga bah bapa kau ni balik. Ada kali urusannya" Mama bercakap perlahan tapi masih dapatku tangkap getar suara bimbangnya. "Maa...mari berdoa." Kataku . Mama mengangguk saja dan kami pun berdoa bersama. Lepas itu mama suruh aku tidur.
Dalam tidur-tidur ayam, aku seperti terdengar-dengar bunyi suara berbual. Rupanya bapa sudah sampai. Keretanya rosak di tengah jalan. Nasib baik ada saudaranya yang kebetulan melalui jalan yang sama berhenti membantu bapa. Inilah yang menyebabkan bapa terlambat balik. "Tuu...anak. Tunggu kau dari siang lagi. Balik-balik dia tengok di jendela. Lewat malam baru dapat tidur. Entah apa dia fikir" Mama beritahu bapa. "Emm. Kau taulah dia ni. Ada-ada saja rancangan." Balas bapa pendek. Derapan kaki terdengar semakin dekat dengan tempat aku tidur. Kepalaku diusap lembut. Derapan kaki berlalu pergi. Hatiku senang dan terus terlelap. Sejuk dan nyaman rasanya.
Bangun pagi terus mataku membulat. Bingkas bangun dan terus keluar mencari bapa. Nampak mama sedang menjemur baju. "ama...ama...mana si apa? " Tanyaku separuh berteriak. Mama menjeling. "Pagi-pagi lagi kau bising sudah. Tuu.." Balas mama sambil menjuihkan mulutnya ke arah kiri. Cepat-cepatku pandang di sebelah kiri pagar. Bapa kelihatan serius. Seorang lelaki muda berpakaian kemas menghulurkan seberkas fail kepadanya. Mereka berbual agak formal tetapi ramah. Aku menghampiri mereka dengan penuh minat. Biasalah bakal-bakal penyiasat.Haha. " Hi! Uncle" Sapaku ramah sambil hulurkan tangan untuk berjabat tangan. "Hi juga. Anak cikgu kaini" Balasnya ramah. Bapa mengangguk dan mereka berbicara lagi. Aku jadi tukang pacak yang 'busybody' sekejap lepas tu ambil keputusan untuk mesti buat sesuatu ni!
Aku cepat-cepat ambil rekod kemajuanku. Rahsia betul. Mama pun belum aku beritakan. Aku mengintai di luar. Yess! Selesai sudah urusan bapa di luar. Aku tunggu bapa di depan pintu rumah. Bapa masuk di rumah dan duduk atas meja. Fail-fail yang dipegangnya bapa letakkan cermat atas meja. "Jangan kamu kacau ni ah" Katanya pendek tapi tegas. Semua yang mendengar cepat-cepat angguk kepala. "Apaa...tunggu bah. Nah, tengok ni" Kataku sambil memberi buku rekod kemajuanku padanya. Bapa duduk kembali dan mengambil buku rekodku itu. Beliau meneliti butiran data dan setiap ayat yang ditulis oleh guruku. Beliau senyap saja sambil tanda tangan ruang untuk ibu bapa. Aku menunggu dengan penuh debaran. " Bah, pigi mandi kita jalan pigi KK" Katanya pendek. Horaay!!!
Maka, ke bandar KK aku hari tu. Perjalanannya amat jauh dan agak dashyat (naik-turun bukit yang tidak rata) terasa amat berbaloi bila bapa cakap " sampai sudah kita di KK". Aku cepat-cepat rapikan rambut dan baju paling cantik yang aku miliki (baju kuning ala baju tidur rombengan) dan selipar Jipun terlaris di pasaran...ar gitew! Hahaha...Jangan kecam. Zaman itu pakai saja apa yang ada. Penuh takjub saya nampak bangunan Mall di KK, ada banyak lampu lip lap dan paling seronok adalah pertama kali ikut bapa naik lif di bangunan Federal Pendidikan ketika itu. Rupa-rupanya fail-fail titipan orang muda tadi adalah fail penting perkhidmatan. Ini sebab bapa perlu ke KK. Langkah kanan betul aku.
Siap urusan di Federal bapa bawa aku makan di atas Pasar. Teruja aku melihat sayur , bebola ikan dan ayam dimasak secara 'live". Kami menikmati makanan tersebut penuh perasaan, terutamanya aku yang jarang makan di kedai apalagi di KK. Kemudian, bapa bawa aku ke kedai buku. Bapa tahu aku ulat buku. "Pilih buku yang kau mahu" Kata bapa pendek. "Bajet bawah RM10" Sambung bapa dengan tegas. "OK!" Balasku gembira. Cepat-cepat aku mencari dan memilih buku cerita yang aku mahu baca. Jumpa... harganya RM 4:80.  Bapa bayar harga buku dengan beberapa keperluan alat tulis untuk kami adik beradik. Bapa sangat prihatin dengan pelajaran kami. "Education is priority" Katanya selalu.
Penutup daripada pengembaraanku di bandar KK adalah kami ke pasar lagi. "Apaa...bulih sa minta beli tu epalkah" Pintaku dengan bapa. RM0.50 sebiji harganya. Ketika itu membeli epal adalah seperti membeli buah kayangan. Paling 'rare' makanan budak kampung. "Bah." Pendek jawapan bapa. Aku ambil 5 biji epal warna merah ranum. Bapa merenung aku. Hairan. "Mama, Gb, Iyak dan Oto. Bapa kita kongsi. Kita sudah makan di kedai tadi" Jelasku. Bapa tersengih, lantas ambil duit dan bayar. Aku memegang erat buku ceritaku di sebelah kanan dan 5 biji epal merah di kiriku. Bapa pegang bahuku erat dan kami berjalan seiringan menuju ke destinasi seterusnya....
Sudah lama ianya berlalu...tetapi pegangan erat bapa dibahuku masih terasa. Ia adalah sandaran dan azimat kekuatanku sehingga ke akhir hayatku.
Hadiah nombor 1 aku paling 'rare' mungkin paling murah...tetapi sentuhan kasih sayang dan pengalaman yang bapa berikan kepada saya tidak dapat dibeli dengan emas permata.
Kadang-kala aku terfikir, mungkin cita-citaku sebagai pendidik juga adalah kerana aku merasakan bahawa minatku timbul dan jatuh cinta pada profesion ini kerana aku pernah naik lif di Federal Pendidikan ketika itu...kadang-kadang minat timbul kerana kita teruja.
Terima kasih pa...
Hadiahmu sangat bererti.
Doa dan rindu aku titipkan buatmu di negeri abadi.


Blessed bornday appa! Miss u so much...


Foto terakhir semasa bapa masih sihat. 


Sovi was here- Federal Pendidikan 1989
12072023@9:26 pm



Previous Post Next Post