Menyaksikan dendangan lagu indah seorang anak yang masih kecil mengiringi pemergian ayahanda tercinta ke liang lahad, menemui penciptaNya. Lagunya bertema " Jangan Pernah Menyerah" dan sepupunya pula mendendangkan sebuah lagi " Waktu Tuhan". Bait-baitnya penuh doa dan harapan, terutamanya bagi mereka yang baru kehilangan insan yang tercinta. Sepanjang dendangan lagu sempena penghormatan terakhir di sebuah Gereja Kecil di desa, kelihatannya semua orang tenggelam dalam emosi dan esakan terdengar. Tubir mataku juga banjir dengan aliran air mata yang deras. Kenangan indah seolahnya berputar seperi tayangan di fikiran. Kelihatan jelas mendiang, seorang suami dan bapa yang baik sedang melayan isteri dan karenah anak-anaknya yang cerdas tersenyum bahagia semuanya...suatu ketika dahulu. Keluarga kecil yang sederhana dan bahagia. Sehinggalah, suatu ketika sang bapa jatuh sakit dan semakin terpisah dengan anak-anak kerana rawatan.
Mereka adalah insan kesayangan kami. Mereka adalah keluarga dan jiran terdekat kami. Kesedihan yang melanda mereka adalah kesedihan bagi kami juga. Kenangan-kenangan indah mereka, kami juga adalah sebahagian daripadanya.
Kadang kala, saat kita sihat, senang dan di puncak jaya banyak hal-hal kecil tapi terpenting kita lupa syukuri. Airmataku mengalir deras lagi. Jika keluarga tadi, yang ketika semasa sihat, senang dan sangat bahagiapun mereka sangat menghargai waktu kebersamaan mereka...bila ada ahli keluarga yang dipanggil sang Pencipta masih terasa banyak lagi masa yang mereka tidak sempat nikmati bersama. Sedangkan, kita pula hampir setiap hari sepertinya tiada masa terluang bersama dengan anak dan suami/isteri dek tuntutan kerja yang sibuk dan 1001 alasan lain yang kadang-kala mahu difikir pun stress?
Cukupkah masa bersama insan kesayangan? Apakah nanti terbit penyesalan tatkala panggilan rose merah dan baju putih sudah tiba? Adakah ketika itu insan-insan kesayangan kita meratapi pemergian kita kerana mengenangi betapa banyaknya kenangan indah kita bersama dengan mereka atau mungkin meratapi penuh penyesalan kerana langsung tiada masa dan kesempatan yang dicipta kenangan bersama? Entahlah, sulit untuk ditebak. Mungkin, masa dan ketika itu kebenaran akan tersingkap tanpa dipinta. Aku cepat-cepat mendoakan semoga yang baik-baik sahaja ketika itu.
"Selesai sudah urusannya di dunia. Kini dia beristirehat sehingga waktuNya kembali" Terdengar suara separuh mengeluh di belakangku. Aku turut memandang ke arah jasad mendiang disemadikan. Taburan bunga rose merah ada di sekelilingnya dan lautan manusia berbaju putih yang mengelilingi kawasan perkuburan semakin berkurangan. Petanda urusan sudah selesai.
"Babai dada" Anak bongsu mendiang yang masih kecil melambai-lambai pusara ayahanda kesayangan. " Jangan menangis nak. Kuatkan hatimu. Ibu masih ada" Pujuk isteri mendiang sambil memeluk erat anak sulungnya yang menangis teresak-esak. Anak itulah yang kelihatan kuat ketika melagukan lagu terakhir untuk bapanya sebentar tadi. Kini, kelihatan amat rapuh dan tidak terdaya. Aduhai hati!
"Biarkan dia menangis. Biar segala kesedihannya tumpah. Sakit jika ditahan. Menangis tidak semestinya lemah. Menangis sebentar untuk luahkan hati yang sakit kehilangan kesayangan." Pujuk ibu saudaranya di sebelah. Aku tepuk-tepuk perlahan bahu si sulung dan usap lembut kepala si bongsu. Dalam hatiku berdoa, semoga isteri dan anak-anak mendiang yang ditinggalkan di beri kekuatan dan ketabahan hati olehNya. Sedangkan mata yang memandang terasa berat, apalagi bahu yang memikul!
Perlahan-lahan kami bergerak meninggalkan kawasan perkuburan. Keadaan semakin sunyi. Hanya taburan kelopak bunga dan kuntuman bunga rose yang kelihatan kemerahan bercampur dengan tanah dari kejauhan. Sementara, kumpulan manusia berbaju putih semakin hilang daripada pandangan.
Sambil memandu, aku tenggalam dalam fikiran.
Mudah-mudahan, diri akan semakin belajar bersyukur dan menghargai semua orang-orang kesayangan, terutamanya keluarga tercinta. Biar susah dan senang bersama. Biar berjuta kesibukan, perlu cipta seinfiniti memori indah bersama mereka.
Pengalaman hari ini seperti ulang kaji semula kitaran hidup kita. Sangat menyedarkan bahawa sehebat mana, setinggi mana pun darjatmu, pangkatmu hatta bertimbun-timbun anugerah kejayaan...akhirnya akan tiba suatu masa hanya mereka yang akan meratapi pemergianmu, mengenangi segala peristiwa bersamamu sama ada suka dan duka. Malah, hal terpenting adalah siapakah yang tetap setia mengurus segala hal daripada A-Z bila suatu ketika panggilan sang BUNGA ROSE & BAJU PUTIH mengetuk pintu hidup kita.
Jawapannya cuma satu - KELUARGA!
Makanya, hargai KELUARGAMU!
Merekalah yang akan mengiringi pemergianmu nanti.
Tuhan sembuhkanlah mereka yang menderita kerana ditinggalkan oleh kesayangan mereka.
Tuhan jagalah para balu dan anak-anak yatim piatu.
Tuhan berilah kami kurnia sentiasa menghargai keluarga kami dan mencintai mereka dengan ikhlas dan tanpa syarat.
Terima kasih Tuhan.
Hari yang penuh pengajaran dalam hidup.
Terima kasih kerana membaca dan sudi mendengar luahan hati.
Mudah-mudahan hatimu tersentuh sesuai dengan rencanaNya, seperti diriku.
Nukilan tanpa prejudis,
Cikgu Sobe
30 Januari 2024 @ 3:33PM